“Masalahnya bermula dengan komunikasi,” itu kata Danial Shah atau Trexy, pemain DX Ravenwood berhubung isu pasukannya tidak dipilih untuk bermain mewakili negeri Johor di Liga E-Sukan Malaysia (MEL24) peringkat kebangsaan bagi kategori PUBGM.
Difahamkan, isu ini bermula apabila Persatuan E-Sukan Johor Darul Takzim (JDTEA) memilih pasukan naib juara di MEL24 peringkat negeri Johor iaitu Team Gank sebagai pasukan yang akan bermain di peringkat kebangsaan dan bukannya DX Ravenwood yang sudah menjuarai peringkat negeri.
“Sepatutnya sebagai pengelola e-sukan negeri mereka lebih arif menguruskan kejohanan dan berurusan terus dengan pengurus pasukan apabila ada sebarang isu atau pertanyaan bukan berhubung terus dengan pemain yang ketika itu sedang fokus dalam kejohanan SUKMA,” katanya ketika dihubungi MyGameOn.

“Apabila pihak pemain menjawab semula (pertanyaan itu), mereka tidak layan.
“Bila didesak oleh pengurusan kelab (DX), waktu itulah mereka nak jawab dan memilih untuk buat pemilihan (selection).
“Mereka (pihak JDTEA) memberi alasan tidak pilih kami sebab kami tidak isi borang pada jam 2 pagi di mana kesemua pemain sudah tidur.
“Pada jam 7 pagi, mereka memaklumkan tidak memilih kami sebab tidak memberi kerjasama untuk mengisi borang,” katanya.

Foto: Instagram @danialshah.0
Kata Trexy, pihak pengurusan kelab sudah pun ambil maklum dengan situasi semasa dan tidak mahu meneruskan untuk sertai kejohanan MEL24 peringkat kebangsaan di bawah kelolaan JDTEA.
“Fokus kami kini untuk kejohanan yang lebih besar seperti di PUBG Mobile Conquerer Series (PMCS) dan Kejohanan Kebangsaan PUBGM (PMNC). Ini kerana pihak pengurusan kelab tidak yakin pihak JDTEA mampu menguruskan segala urusan pasukan negeri secara profesional,” katanya.
Dalam perkembangan sama, pihak JDTEA sebelum ini mengeluarkan kenyataan rasmi di Facebook.

Mereka menafikan sebarang tuduhan kronisme (memilih pasukan naib juara) dan mengatakan keputusan memilihan Team Gank ini kerana kelewatan pasukan DX Ravenwood memberikan maklumat.
“Disebabkan kekangan masa dan ketiadaan kerjasama, kami (JDTEA) membuat keputusan untuk menamakan pasukan naib juara MEL24 Negeri Johor (Team Johor) untuk ke peringkat kebangsaan kerana tiada kemungkinan mengadakan perlawanan pemilihan seperti dirancang.

Dalam kenyataan di atas, mereka menyatakan persatuan negeri mempunyai pilihan untuk menghantar satu pasukan penuh atau memilih individu dari pelbagai pasukan (selection).
DX Ravenwood sebelum ini memenangi Pingat Perak di SUKMA XXI Sarawak dan menjadi calon yang dinantikan peminat mewakili negeri itu di MEL24.

setahun yang lepas