Semua yang anda perlu tahu tentang MPL MY S15 – format kejohanan, lokasi dan lain-lain

Follow kami di WhatsApp , Instagram, and TikTok MyGameOn, jadi antara yang terpantas untuk dapatkan berita e-sukan, gaming dan anime!

Artikel ini adalah petikan dari siaran media

MOONTON Games dan Infinix hari ini mengumumkan kerjasama selama setahun untuk Liga Profesional Mobile Legends: Bang Bang (MPL) Malaysia. Kerjasama ini menjadikan Infinix sebagai Rakan Telefon Pintar Gaming Rasmi bagi kejohanan esukan terbesar dan paling lama di Malaysia serta mencerminkan aspirasi bersama untuk memperkasakan tahap esukan di Malaysia dengan menjadikannya lebih mudah diakses, kompetitif dan menghiburkan.

Liga ini juga memperkenalkan beberapa kemaskini untuk Musim Ke-15 akan datang termasuklah lokasi kejohanan, jadual perlawanan, barisan penaja dan teaser untuk produk rasmi MPL Malaysia.

MPL Malaysia disokong oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Rakan Muda, Esports Integrated (ESI), Persekutuan Sukan Elektronik Malaysia (MESF) dan Persatuan Stadium Malaysia (PSM).

Sebagai Rakan Telefon Pintar Gaming Rasmi untuk MPL Malaysia 2025, Infinix GT 20 Pro akan dijadikan sebagai Telefon Rasmi untuk musim ke-15. Ia direka untuk pengalaman gaming terbaik, di mana GT 20 Pro menggunakan teknologi dwi-chip bagi prestasi tiada tandingan, paparan gaming lebih responsif dengan kadar segar semula yang tinggi serta sistem penyejukan canggih mengekalkan gaya permainan di tahap terbaik-digabungkan dengan rekaan mecha siber ultra anggun.

Kerjasama antara Infinix dan MPL Malaysia adalah sebahagian dari kerjasama serantau jangka panjang melibatkan kejohanan profesional Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) yang diadakan di lima negara Asia Tenggara.

“Kerjasama kami dengan MOONTON Games merupakan langkah besar dalam matlamat kami membentuk masa depan esukan di Malaysia, serta memperkukuh komitmen kami untuk melepasi sempadan teknologi, membawa inovasi dalam permainan mudah alih, dan memastikan pemain serta peminat esukan kami mempunyai akses kepada teknologi permainan terbaik,” kata Wai Kiat Hong, Pengarah Pemasaran Infinix Malaysia.

Siew Hao Zhen, Ketua Esukan (MY dan SEA Incubation) MOONTON Games, berkata: “Kami amat teruja menyambut kedatangan Infinix ke MPL Malaysia, ekosistem esukan mudah alih terbesar di Malaysia. MPL Malaysia komited memupuk inovasi dan kecemerlangan dalam permainan mudah alih—nilai-nilai yang seiring dengan strategi Infinix untuk menyediakan teknologi termaju bagi memperkasakan pemain. Kami teruja untuk bersama-sama melangkah lebih jauh melepasi sempadan esukan mudah alih.”

Infinix akan disertai oleh Head & Shoulders dan Fairrie sebagai rakan kongsi MPL Malaysia pada musim ke-15.

MPL Malaysia Musim Ke-15: Apa Anda Perlu Tahu

Pertempuran Musim Ke-15 kali ini akan bertempat di Stadium Juara. Ia merupakan peluang bagi arena esukan di Malaysia untuk menjadi bertambah baik selepas pahit manis pada 2024, di mana ia adalah tahun terbaik buat negara ini di pentas antarabangsa esukan selepas mencipta sejarah di MLBB Mid Season Cup (MSC) 2024, pertama kali merangkul gelaran juara MPL Malaysia berturut-turut dan memenangi acara Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) di World Esports Championship (WEC) 2024, namun gagal menjulang trofi kejohanan dunia M6, puncak kejohanan esukan MLBB di tanah air sendiri pada Disember lalu.

 

Musim baharu menandakan cadangan jenama baharu untuk MPL Malaysia: iaitu “Pentas Kebanggaan”, sebuah pentas kebanggaan Esukan MLBB Malaysia di mana bakat-bakat tempatan boleh bangkit, bertanding dan membawa kejayaan atas nama mereka. “Pentas Kebanggaan” adalah satu simbol ekspresi yang mencerminkan ekosistem esukan MPL Malaysia secara keseluruhannya —pemain, staf kejurulatihan, pengulas, pencipta kandungan, peminat dan semua!—untuk bersatu dengan rasa kecintaan yang dikongsi bersama untuk esukan MLBB.

Musim Ke-15 memperkenalkan wajah baharu bagi dua pasukan. Selangor Red Giants, mengumumkan kerjasama dengan organisasi esukan terkenal di Eropah, OG Esports. Menerusi kerjasama ini yang pertama kalinya dijalinkan, juara bertahan ini akan bertanding di bawah nama Selangor Red Giants OG Esports (SRG). Red Esports pula diperkenalkan semula sebagai Aero.

Selain itu, MPL MY kali ini memperkenalkan dua pasukan baharu juga iaitu Ocean Black dan DX Soul, masing-masing diberikan kenaikan (promoted) dari liga pembangunan MLBB, Liga Akademi MLBB Malaysia (MALMY).

Musim Ke-15 akan kembali dengan format dua peringkat yang sama —termasuk Regular Season diikuti dengan Playoffs. Regular Season akan membariskan 10 pasukan hebat MLBB negara ini yang akan bertanding setiap minggu bermula dari 19 April ke 25 Mei. Regular Season ini akan dimainkan dalam format single round-robin yang mana setiap perlawanan dimainkan dalam Best-Of-Three (BO3).

Perlawanan pembukaan pada 19 April akan menjadi rematch bagi Grand Final musim lalu, SRG lawan Team Vamos. Kedua-dua pasukan pastinya bakal mencari rentak dan momentum bagi membuktikan kemampuan mereka selepas Kejuaraan Dunia M6. Jadual penuh Regular Season boleh dilihat di “Appendix: Pasukan & Jadual Regular Season MPL Malaysia Musim Ke-15”.

Enam pasukan teratas dari Regular Season akan mara ke Playoffs. Musim ini, Playoffs akan dibahagikan kepada dua fasa—yang akan berlangsung sepanjang dua hujung minggu dalam Musim Ke-15. Fasa Pertama Playoffs akan berjalan dari 30 Mei hingga 31 Mei manakala Fasa Kedua pula akan dijalankan pada 14 Jun hingga 15 Jun.

Hao Zhen berkata: “Kami telah menyemak semula format Playoff sebagai satu eksperimen—untuk menambahbaik lagi pengalaman buat peminat. Pada musim-musim sebelumnya, Playoffs dijalankan dari hari Khamis hingga Ahad; ini menyebabkan sebahagian peminat tidak dapat hadir ke perlawanan pada hari bekerja kerana komitmen seperti sesi persekolahan dan bekerja. Kami percaya format baharu ini lebih selaras dengan jenama liga kami yang berteraskan komuniti yang inklusif dan mesra keluarga,”

MPL Malaysia akan mengacah pelancaran barisan produk (merchandise) rasmi julung kalinya untuk liga ini.

Pengumuman ini dbuat ketika acara bersama media iaitu “Infinix Iftar Night 2025: Powering the Future with MPL Malaysia” di restoran Royal Bedouin di Sri Hartamas.

Untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai MPL Malaysia, ikuti MPL Malaysia di Facebook, Instagram, TikTok, laman web.

RELATED NEWS

+