Kenali Fayde, Ketua Jurulatih skuad VALORANT Wolves Esports berasal dari Malaysia yang layak ke MASTERS Toronto

Follow kami di WhatsApp , Instagram, and TikTok MyGameOn, jadi antara yang terpantas untuk dapatkan berita e-sukan, gaming dan anime!

Kejayaan anak Malaysia di persada antarabangsa pastinya memberikan inspirasi kepada lebih ramai anak muda untuk mengikuti jejak langkah mereka. Bagi Hoc Wah Chong atau Fayde, dia mempunyai kisah tersendiri untuk dikongsi kepada semua. 

Ketua Jurulatih pasukan VALORANT Wolves Esports berusia 28 tahun ini berjaya mengemudi pasukannya itu melayakkan diri ke VALORANT MASTERS di Toronto, Kanada. Ia merupakan kejohanan berprestij VALORANT yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan AS$1 juta (RM4.3 juta).

Ikuti temubual penulis bersama Fayde.

Foto: Hocwah

1. Boleh perkenalkan diri anda dan bagaimana anda menyertai Wolves Esports sebagai ketua jurulatih?

Hai, saya Fayde, ketua jurulatih untuk pasukan VALORANT Wolves Esports. Saya sudah empat tahun berkecimpung dalam dunia kejurulatihan profesional VALORANT. Tahun lepas, Wolves menghubungi saya ketika saya sedang membantu XLG untuk layak ke liga VCT CN melalui Ascension.

Beberapa hari selepas kami berjaya menang Ascension bersama XLG, saya mengambil keputusan terima tawaran Wolves Esports bagi memulakan kerjaya baharu untuk tahun 2025. Saya tertarik dengan cabaran yang ditawarkan dan peluang mengendalikan pasukan di pentas antarabangsa.

2. Menghadapi pasukan hebat seperti Titan dan BLG di VCT China Playoffs, bagaimana persiapan mental pasukan?

Bertemu lawan seperti Titan dan BLG memang satu cabaran besar, tetapi ia juga membakar semangat kami. Kami banyak fokus pada ketahanan mental kerana untuk berdepan pasukan hebat bukan hanya perlukan pengetahuan tentang taktikal, tetapi juga mencabar ketahanan emosi.

Saya tekankan kepada pemain supaya kekal tenang, fokus pada gaya permainan kami sendiri, dan tidak terpengaruh dengan ‘nama besar’ pihak lawan. Tugas saya adalah memastikan mereka percaya pada strategi kami dan mampu beraksi di bawah tekanan.

 
 
 
View this post on Instagram

A post shared by Wolves Esports (@wolvesesports)

3. Adakah ini penampilan antarabangsa pertama anda sebagai jurulatih? Apa cabaran yang anda hadapi untuk sampai ke tahap ini, dan kenangan apa yang paling anda hargai?

Ya, ini akan menjadi pengalaman antarabangsa pertama saya sebagai jurulatih. Perjalanan ini penuh dengan cabaran — banyak malam tanpa tidur untuk menganalisis rakaman perlawanan, perbincangan tanpa henti dengan pasukan untuk memperkemaskan strategi, dan beberapa kekalahan pahit semasa peringkat kumpulan.

Tetapi yang paling saya hargai adalah melihat sendiri dengan mata saya bagaimana pemain meningkatkan mutu permainan, mengeratkan hubungan yang ‘sekepala’ dan menyaksikan mereka mampu menjadi pasukan yang boleh bersaing di peringkat dunia. Segala usaha keras kami akhirnya membuahkan hasil, dan kini kami fokus untuk Toronto dengan satu matlamat.

4. Siapakah individu yang paling banyak membantu dan menjadi penyokong kuat anda sepanjang perjalanan ini?

Saya sangat berterima kasih kepada teman wanita saya, keluarga, dan beberapa jurulatih VALORANT dari rantau Pasifik seperti Alecks dan Frost. Teman wanita saya sentiasa menjadi sumber kekuatan dan motivasi utama, manakala jurulatih-jurulatih senior banyak memberi nasihat yang tak ternilai, terutamanya dalam bab menguruskan pemain dan menyusun strategi untuk perlawanan besar.

Foto: Hocwah

5. Boleh kongsi sedikit tentang persiapan selepas tamat VCT China Playoffs sebelum ke Masters?

Selepas tamat playoffs, mungkin kami akan sertai satu lagi kejohanan third party. Tapi yang pasti, kami akan ambil sedikit masa untuk berehat dan reset sebelum fokus sepenuhnya pada persiapan ke Toronto.

Persediaan termasuk mengenalisis pasukan antarabangsa, menyesuaikan strategi kami, serta memastikan pemain bersedia menghadapi gaya permainan yang berbeza. Kami juga akan mengkaji semula semua perlawanan di China untuk mengenalpasti apa yang perlu diperbaiki, selain memperkukuh keserasian antara ahli pasukan dan kemahiran individu.

6. Pada pendapat anda, apa kualiti penting yang perlu ada pada seorang jurulatih VALORANT?

Seorang jurulatih VALORANT perlu fleksibel, memahami emosi pemain, dan pandai berkomunikasi. Dalam dunia yang sentiasa berubah seperti VALORANT, penting untuk sentiasa mengikut perkembangan strategi dan meta.

Tetapi pada masa yang sama, membina hubungan kepercayaan dengan pemain adalah sama pentingnya. Seorang jurulatih bukan hanya perlu pandai merancang taktikal, tetapi juga membimbing perkembangan peribadi dan kerjasama pemain.

Foto: Hocwah

7. Bagaimana pengalaman beralih dari dunia kejurulatihan Asia Tenggara (SEA) ke China, dan mengapa anda buat keputusan itu?

Peralihan ini memang mencabar, tetapi sangat berbaloi. Arena kompetitif di China jauh lebih profesional dengan sokongan dan bantuan yang lebih banyak. Saya pilih untuk berhijrah dari SEA ke China kerana mahu mencabar diri dan membawa kejurulatihan saya ke tahap lebih tinggi.

Wolves Esports menawarkan platform untuk kami bersaing di peringkat dunia dan saya mahu menjadi sebahagian daripada perjalanan itu.

8. Pada pandangan anda, apa kekurangan arena VALORANT di Malaysia? Kenapa kita masih ketinggalan berbanding Indonesia, Thailand dan Filipina?

Malaysia mempunyai ramai pemain berbakat, tetapi kita kurang sokongan dari segi infrastruktur dan program pembangunan akar umbi.

Negara seperti Indonesia, Thailand dan Filipina lebih serius melabur dalam pembangunan pemain dan komuniti mereka.

Malaysia perlukan lebih banyak jurulatih berpengalaman, fasiliti latihan yang baik, serta peluang kompetitif (pertandingan) yang konsisten. Jurang ini bukan mustahil untuk diatasi, tetapi memerlukan kerjasama dari semua pihak. Dari organisasi, pemain, dan komuniti untuk memajukan arena e-sukan kita.

RELATED NEWS

+