Pengulas sukan, Aiman Roshizam berjaya mencipta fenomena tersendiri apabila merangkul Anugerah Pengulas Sukan Popular 2024 anjuran Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) pada 14 Julai lalu.
Dia berjaya mengatasi undian dari pengulas lain antaranya Putra Ammar Qayyim Zulaadi “Mars” (esukan), Mohsen Amdan (Bola Rotan), Syafiq Asyraf Zulkarnain (RTM) dan Aizuddin Nizam (RTM).
Aiman atau lebih dikenali sebagai Sekaiichi dalam kalangan peminat esukan sebelum ini merupakan pemain kompetitif FIFA Online dan pernah mengulas pelbagai kejohanan esukan antaranya FIFA, Call of Duty Mobile dan lain-lain sebelum bergiat aktif dalam pengulasan sukan. Dia juga berbakat mengulas dalam Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu.
“Alhamdulillah atas rezeki isteri dan dua anak-anak saya. Saya hanya menumpang rezeki mereka,” tulisnya dalam satu catatan di laman Facebook.
Aiman turut berterima kasih buat keluarga, isteri dan anak-anak atas pengorbanan kerjayanya sejak 2015. Dia juga berterima kasih kepada pihak Astro Arena yang memberikan tunjuk ajar pada tahun 2021 sebagai pengulas baru dalam bidang sukan.
Tidak hanya terhenti di situ, Aiman yang pernah mengulas Piala Malaysia mahu menjadikan kemenangan ini sebagai motivasi untuk dirinya memperbaiki ulasan di masa hadapan.
Seterusnya, dia akan mengulas kejohanan Thai King’s Cup 2025, sebuah kejohanan sepak takraw dianjurkan di Thailand.
Kami dari MyGameOn ingin mengucapkan tahniah dan semoga lebih berjaya kepada Aiman dalam karier pengulasan!
Foto: Facebook Aiman Roshizam

setahun yang lepas