“Saya ni ‘gagal’ dalam pelajaran. Hanya mampu dapat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Saya tak ada Diploma atau PHD macam orang lain,” itu kata Muhammad Shafiq atau King Shah selaku juara kategori Gaming Creator of the Year di TikTok Awards MY 2024 semalam.
Shah berkata, meskipun tidak berjaya dalam pelajaran, namun dia tetap tidak menoleh ke belakang dan terus bekerja keras untuk ibunya.
“Saya kerja keras lebih lagi untuk buktikan sesuatu kepada ibu saya. Macam ibu saya cakap, tiada pelajaran akan hidup susah, susah nak dapat kerja.
“Tapi Alhamdulillah, sekarang saya boleh bantu ibu saya dengan apa saya ada sekarang. Apa dia mahukan, saya boleh bagi,” katanya ketika ditemubual di sidang media TikTok Awards MY 2024 diadakan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL).

Shah juga menasihatkan kepada anak muda di luar sana untuk terus berusaha keras belajar ke tahap tertinggi kerana itulah hadiah terbaik untuk keluarga.
“Orang tua (ibu bapa) ini dia tak mintak banyak. Mereka jaga kita dari kecil sampai besar, mereka mahukan yang terbaik untuk kita.
“Kalau kita dapat sijil, naik pentas graduasi pakai jubah, itu sudah menjadi satu kebanggaan buat mereka,” katanya.
Shah menggesa bagi mereka yang mahu berkarier dalam bidang streaming agar mementingkan pelajaran terlebih dulu selain perlu kuatkan mental bagi menghadapi sebarang komen dan kritikan.
Dalam kategori sama, King Shah bertanding dengan lima lagi creator iaitu OmbongHaha, Roshanotgamer, sabiqqqq, thelieyaa dan xkpenjahat.
Bagi kategori Pilihan Juri, para calon dipilih berdasarkan kriteria khas dan dinilai oleh panel eksekutif yang terdiri daripada Khairul Aming, Pengurus Besar TikTok untuk operasi kandungan Asia Tenggara, Angga Anugrah Putra dan Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian TV Media Prima dan Primeworks Studios, Nini Yusof.
Foto: TV3 Malaysia

setahun yang lepas