Kejohanan PUBG MOBILE National Championship yang dinanti-nantikan kini dibuka untuk penyertaan semua pemain tempatan Malaysia serta pasukan-pasukan akar umbi. Bermula sekarang hingga 15 April ini, para pemain dan pasukan berpeluang untuk muncul sebagai juara kebangsaan seterusnya serta merealisasikan impian mereka untuk melangkah ke liga profesional.

Hadiah lumayan menanti dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM10,000 bagi kategori Squad dan RM3,000 bagi kategori Solo. Pusingan akhir untuk kategori Solo akan berlangsung pada 26 hingga 27 April 2025, manakala kategori Squad akan berentap dari 2 hingga 4 Mei 2025. Pertandingan ini bukan sekadar soal kemenangan, tetapi juga peluang untuk menyerlah di pentas lebih tinggi.

Dua pasukan terbaik dalam kategori Squad akan layak ke PMSL SEA Summer yang akan diadakan di Indonesia. Juara bagi kejohanan itu pula akan mendapat tempat eksklusif di PUBG MOBILE WORLD CUP (PMWC) 2025 yang bakal berlangsung di Riyadh, Arab Saudi.
Bagi kategori Solo pula, format baharu diperkenalkan bagi menonjolkan bakat individu dan menarik perhatian pasukan-pasukan profesional dari PMSL Partnership.
Pusingan Kelayakan Terbuka bagi kategori Squad dijadualkan pada 18 hingga 19 April 2025, manakala Pusingan Akhir akan berlangsung pada 20 April 2025.
Dua pasukan terbaik dalam mod Ultimate Royale akan dijemput ke Pusingan Akhir Kelayakan, dan hanya 10 pasukan teratas akan mara ke Peringkat Akhir. Bagi kategori Campus pula, pusingan kelayakan akan diadakan pada 19 dan 20 April, di mana dua pasukan terbaik akan menyertai Peringkat Akhir di bawah kategori Squad.
Sementara itu, kategori Solo akan mengadakan pusingan kelayakan pada 20 April, dan Peringkat Akhirnya pada 26 hingga 27 April. Pasukan Squad pula akan bersaing bersama empat pasukan teratas PMNC MY 2024 iaitu MAQNA ESPORTS CLUB (MEC), NEW ERA (NWE), AZ SLUMBER (AZ), dan DX STREAM (DX).
Eugene Chin, Pengurus Negara (Malaysia) Tencent Games, berkata, “Kami sangat teruja melihat bakat-bakat hebat dari negara ini apabila kejohanan bermula. Ia benar-benar menunjukkan hasil usaha, komitmen dan kemahiran para pemain. Saya ucapkan semoga berjaya kepada semua yang bertanding untuk mencapai puncak kejayaan,”

setahun yang lepas