Fon kepala adalah aksesori gaming yang sangat penting untuk gamers. Mana tidaknya, anda yang mempunyai setup gaming di rumah pastinya ingin bermain game dengan lebih imersif sambil mendengar audio permainan yang berkualiti.
SteelSeries Arctis Nova 5 Wireless adalah fon kepala gaming mampu milik. Dengan harga sekitar RM699, ia menawarkan pengalaman hampir serupa dengan Nova 7 tapi dengan beberapa keunikan tersendiri bagi memastikan ia masih berpatutan.

Meskipun ia tidak memiliki beberapa ciri premium, namun di sebalik itu, Nova 5 tetap menawarkan prestasi sangat baik terutamanya jika anda mementingkan aspek seperti fon kepala gaming yang ringan dan berfungsi dengan baik di pelbagai platform.
Rekabentuk Nova 5

Dari segi rekaannya, SteelSeries Arctis Nova 5 Wireless masih mengekalkan elemen reka bentuk sama dengan Nova 7. Di Nova 5, ia menggunakan plastik tanpa teras besi, menjadikannya lebih ringan tapi juga lebih mudah rosak jika terkena impak yang kuat.
Namun ear cup yang selesa membolehkan penggunaan untuk jangka masa yang lama.

Nova 5 juga menawarkan pad telinga yang lebih selesa dan tahan lama. Selain itu, mikrofon boom pada fon kepala ini boleh ditarik apabila tidak digunakan, jadi ia lebih mudah dibawa ke mana-mana tanpa gangguan.
Namun begitu, ia tiada port audio 3.5mm dan roda di bahagian pad telinga kanan untuk memudahkan anda mengimbangkan audio game dimainkan dan audio chat.
Kualiti Audio sesuai untuk pelbagai permainan video

Audio jelas dan seimbang, itu antara kelebihan Arctis Nova 5 di mana ia lebih menyerlah jika anda bermain permainan video perang atau aksi. Dengan teknologi audio spatial, bunyi tapak kaki musuh boleh dikesan dengan mudah malah permainan aksi-pengembaraan seperti Stellar Blade yang mengutamakan audio musik yang menarik dapat dinikmati dengan baik.
Sesi bermain permainan video menggunakan ‘voice chat’ boleh dikatakan sangat lancar dan sesuai untuk permainan multi-pemain. Komunikasi bersama pemain lain kedengaran lebih jelas namun satu kelemahan pada fon kepala ini adalah noise isolation yang agak kurang baik apabila anda berada di persekitaran yang bising ataupun ‘menangkap’ pelbagai bunyi seperti di kafe dengan ramai orang.
Namun, jika anda berada di bilik tidur, ia tidak akan menjadi masalah.
Aplikasi di telefon pintar untuk kesesuaian permainan video

Berbanding fon kepala lain, Nova 5 mempunyai aplikasi mudah alih untuk anda mengubah tetapan mengikut citarasa tersendiri. Equalizer boleh ditetapkan dengan konsol atau peranti pintar menggunakan sambungan Bluetooth atau dongel 2.4GHz.
Lebih dari 100 preset EQ boleh digunakan untuk pelbagai permainan video atau anda boleh tetapkannya secara manual.

Bagi anda yang mahu mendengar muzik menggunakan Nova 5, ia agak kurang sesuai kerana bunyi audio lebih banyak mid dan bass sekali gus sesuai untuk permainan aksi sahaja. Satu sahaja kekurangan pada kemudahan tetapan EQ adalah ketiadaan butang di ear cup untuk menukar tetapan audio untuk muzik/permainan dengan mudah.

Jika anda mahu menggunakannya di PC dan juga beralih ke konsol juga tiada masalah kerana dongel boleh disambung dengan mudah. Jangka hayat bateri bagi Nova 5 adalah sekitar 60 jam, sesuai dengan harga ditawarkan.
Secara keseluruhannya, harga RM699 untuk Nova 5 menjadikannya pilihan berbaloi untuk aksesori mampu milik. Walaupun ketiadaan pengasingan bunyi total, ia masih mempunyai aplikasi mudah alih untuk memudahkan anda menetapkan audio mengikut kesesuaian.
Ia juga lebih ringan dan sesuai untuk pelbagai kegunaan di pelbagai platform.

setahun yang lepas