Adik Beradik Kuala Lumpur (ABKL) mencipta sejarah tersendiri menerusi penganjuran ABKL Experience 2025 di Shangri-La Kuala Lumpur, yang berlangsung bermula jam 10 pagi.

Ketua IT ABKL, Mohd Hilmi Azli dan CEO ABKL, Muzammil Mudzakir
Acara berskala besar ini menjadi platform rasmi memperkenalkan keseluruhan ekosistem ABKL kepada masyarakat dan media, selain mencatatkan pencapaian sebagai Expo & Pre-Tournament GTAV FiveM pertama di Malaysia, sekali gus meletakkan ABKL sebagai peneraju dalam landskap roleplay tempatan.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif ABKL, Muzammil Mudzakir (MelRomeo), acara ini mempamerkan perkembangan dunia roleplay Malaysia merangkumi teknologi pelayan, sistem permainan, pencipta kandungan serta potensi kerjaya dalam industri digital dan e-sukan.


Pertandingan yang dianjurkan pula menampilkan konsep roleplay kompetitif, berbeza daripada e-sukan tradisional dengan penilaian berasaskan kreativiti, penceritaan, strategi dan kerjasama pasukan. ABKL Experience 2025 turut menghimpunkan lebih 1,000 komuniti ABKL termasuk pemain, streamer, pembangun sistem dan pempengaruh dari seluruh negara serta penyertaan serantau.

Dari sudut penjenamaan dan kolaborasi, ABKL terus diperkukuh dengan penglibatan ikon seperti Hafizh Syahrin dan Daddyhood sebagai wakil komuniti, selain Somean dan Gnello daripada K-Clique sebagai kolaborator kreatif dan ikon budaya. Ketua IT ABKL, Mohd Hilmi Azli (Keiroy) menjelaskan mereka bukan sekadar wajah promosi, malah pemain aktif, streamer serta penyumbang idea dalam pembangunan ABRP.

Pendekatan ini telah meningkatkan keterlibatan komuniti dan memperluas demografi pemain, sekali gus mengukuhkan kedudukan ABKL sebagai platform komuniti digital dan kandungan kreatif Malaysia yang lebih matang.

ABKL Experience 2025 juga menjadi titik permulaan kepada perancangan besar bagi tahun 2026, termasuk pengembangan ABRP dengan teknologi baharu, penganjuran acara fizikal dan digital secara berkala, kerjasama strategik bersama jenama serta pembangunan pelayan khas ABShoot untuk menyokong streamer dan pencipta kandungan.
Dengan fokus untuk bersaing di peringkat serantau, ABKL berharap dunia permainan dan roleplay dapat terus menjadi medium positif dalam membina bakat, komuniti dan peluang ekonomi digital, selari dengan aspirasi melahirkan generasi kreatif dan profesional beridentiti tempatan.

setahun yang lepas