Nothing hari ini melancarkan Ear (3), generasi baharu dalam kategori True Wireless Stereo (TWS).
Model ini menggabungkan akustik berketepatan tinggi, sistem Super Mic pada bekas pengecas, serta rekaan segar yang buat pertama kali menggunakan komponen logam dalam estetik telus ikonik Nothing sekaligus menetapkan penanda aras baharu dalam dunia audio peribadi.

Keunikan utama Ear (3) adalah Super Mic, sistem dwi-mikrofon dengan teknologi penapis hingar sehingga 95 dB yang terletak dalam bekas pengecas. Ia memberi kejelasan suara ketika panggilan, malah membolehkan pengguna merakam nota suara secara terus dengan hanya menekan butang TALK.
Setiap fon telinga turut dilengkapi tiga mikrofon arah bersama Voice Pick-up Unit berasaskan pengesanan getaran tulang, dipadukan dengan sistem AI pembatal hingar berbilang saluran yang dilatih dengan lebih 20 juta jam data audio sebenar.
Tambahan pula, Adaptive Noise Cancellation masa nyata sehingga 45 dB memastikan bunyi persekitaran ditapis secara konsisten setiap kali pengguna bergerak.
Dari segi prestasi audio, Ear (3) menggunakan pemandu dinamik 12mm dengan diafragma bercorak yang meningkatkan keluasan radiasi sebanyak 20%. Hasilnya, bass lebih bertenaga (4–6 dB), treble lebih jernih (hingga 4 dB), serta pengalaman bunyi yang luas dan seimbang.

Rekaan Ear (3) mengekalkan identiti Nothing dengan casing telus yang kini ditambah sentuhan logam berkilau, manakala antena MIM khusus meningkatkan kuasa pancaran dan sensitiviti isyarat untuk sambungan yang lebih stabil.
Kotak pengecas pula diperbuat daripada 100% aluminium kitar semula melalui 27 proses ketepatan, menjadikannya lebih mesra alam serta kompak tanpa penggunaan gam.
Dari segi ketahanan, Ear (3) hadir dengan bateri 55 mAh pada setiap bud yang mampu bertahan sehingga 10 jam penggunaan berterusan (90 minit lebih lama berbanding generasi sebelumnya), dan sehingga 38 jam dengan sokongan bekas pengecas.

Pengecasan pantas 10 minit melalui USB-C menawarkan tambahan 10 jam muzik, manakala pengecasan tanpa wayar menambah kemudahan. Dengan Bluetooth 5.4, sokongan LDAC, mod latensi rendah di bawah 120ms, serta keserasian Google Fast Pair, Microsoft Swift Pair, dan iOS, pengalaman pengguna menjadi lebih lancar.
Ear (3) juga kalis habuk, peluh, dan percikan hujan dengan penarafan IP54.
Ditawarkan pada harga RM759 dalam warna hitam dan putih, jualan terbuka bermula 6 Oktober ini melalui Nothing.tech, kedai rasmi di Lazada, Shopee, TikTok Shop, serta rakan runcit terpilih di Malaysia.

setahun yang lepas