MOONTON Games semalam memperkenalkan Piala Immortal MPL. Ia adalah evolusi baharu bagi trofi kejohanan Liga Profesional MLBB (MPL). Trofi ini diperkenalkan serentak di tujuh rantau MPL iaitu Kemboja, Indonesia, LATAM, Malaysia, MENA, Filipina, dan Singapura.
Pelancaran ini turut memperkukuh komitmen MOONTON terhadap inovasi, selari dengan pengenalan logo baharu MLBB pada Grand Final Kejohanan Dunia M6, Disember lalu.
Rekaan Piala Immortal MPL membawa makna simbolik. Ia menggabungkan elemen warisan lama dengan sentuhan moden. Motif sayap yang menjadi lambang kejayaan masa lalu dikekalkan, mencerminkan semangat juang dan kebebasan pemain dalam mengejar kecemerlangan. Elemen api pula mencerminkan semangat membara komuniti e-sukan, selari dengan identiti baharu MLBB yang lebih dinamik dan berani.

Trofi MVP untuk perlawanan akhir juga diperbaharui dengan reka bentuk lebih garang, menampilkan logo MPL bersama elemen api sebagai penghargaan kepada pemain paling cemerlang. Reka bentuk ini turut mengambil inspirasi daripada Piala Immortal MPL, menambahkan nilai simbolik kepada setiap kejayaan.
Sejak diperkenalkan pada 2017, MPL sudah menjadi antara liga e-sukan terkemuka dunia. MPL Indonesia mencipta sejarah sebagai kejohanan mudah alih paling banyak ditonton dengan 117 juta jam tontonan musim lalu. Pelancaran Piala Immortal MPL menandakan era baharu. Ia bukan sekadar sebuah trofi, tetapi simbol kepada aspirasi global MPL untuk terus memacu arena esports ke tahap lebih tinggi.

setahun yang lepas