Kempen Golden Month oleh MOONTON Games dilihat sebagai inisiatif yang baik bagi meraikan umat Islam di negara ini terutamanya golongan gamers.
Baca temubual penulis bersama Graws Wen, Ketua Penerbitan Pasaran Malaysia dan Singapura, Mobile Legends: Bang Bang, di MOONTON Games.

Graws Wen
1. Apakah objektif dan idea di sebalik kempen Golden Month? Apa yang mendorong inisiatif ini?
Kami melancarkan kempen Golden Month untuk meraikan budaya tempatan bersama pemain di Malaysia sepanjang bulan Ramadan dan Syawal. Ini adalah sebahagian daripada strategi pemerkasaan kandungan tempatan kami—bagi mencipta pengalaman yang lebih dekat dengan komuniti.
Kami memahami bahawa rakyat Malaysia sangat menghargai nilai kebersamaan dan kemeriahan sepanjang tempoh ini. Oleh itu, Golden Month diwujudkan bagi memberikan lebih banyak peluang kepada pemain untuk merasai pengalaman itu dalam MLBB!
Idea ini terhasil daripada maklum balas pemain terhadap kempen sebelumnya; ramai yang meminta kandungan serta acara yang lebih memfokuskan kepada Ramadan. Maka, kami mencipta Golden Month untuk meningkatkan interaksi pemain sambil menghormati warisan budaya Malaysia.
2. Mengapa MOONTON Games memilih untuk meraikan Ramadan walaupun ia jarang ditampilkan dalam permainan video lain?
Kami memilih untuk meraikan Ramadan kerana kami ingin menghargai komuniti pemain di Malaysia. Kami memahami bahawa bagi rakyat Malaysia, Hari Raya bukan sekadar perayaan biasa, tetapi juga waktu untuk bergembira, refleksi diri, dan mengeratkan hubungan dengan keluarga serta sahabat handai. Oleh itu, kami memastikan aktiviti yang diperkenalkan dalam kempen ini boleh dinikmati bersama keluarga sambil menyambut bulan yang penuh makna ini.
Walaupun Golden Month merupakan kempen global MLBB, MOONTON Games Malaysia mengambil inisiatif untuk menyediakan aktiviti yang lebih dekat dengan komuniti tempatan.
Sebagai pembangun permainan, kami sedar bahawa komuniti MLBB sangat berbilang budaya. Kami mempunyai pemain dari pelbagai latar belakang, termasuk yang beragama Islam. MLBB sentiasa menjadi platform yang menyatukan orang ramai, bukan sahaja dalam permainan tetapi juga dalam kehidupan sebenar.
Oleh itu, kami mahu mewujudkan suasana yang inklusif untuk semua pemain, tidak kira di mana mereka berada. Kami percaya bahawa perwakilan budaya adalah penting, dan Golden Month adalah salah satu usaha kami untuk mencipta kenangan bermakna buat komuniti Malaysia.

3. Mengapa MOONTON Games memilih untuk menawarkan pakej Umrah khas kepada rakyat Malaysia?
Kami melancarkan Golden Month sebagai tanda penghargaan kepada komuniti MLBB di Malaysia. Kami sedar bahawa Umrah mempunyai makna yang sangat besar bagi umat Islam, dan kami melihat peluang untuk menjadikan acara ini lebih bermakna dengan memberi sesuatu yang benar-benar bernilai kepada pemain.

Melalui inisiatif ini, kami berharap dapat meraikan dan menghormati nilai keagamaan pemain kami, serta menunjukkan komitmen kami terhadap keterangkuman dan penghargaan terhadap kepelbagaian tradisi.
4. Bagaimana sambutan terhadap kempen ini setakat ini? MOONTON juga berkolaborasi dengan selebriti Malaysia—adakah ini bertujuan untuk menarik lebih ramai orang ke dunia gaming?

Kami amat tersentuh hati dengan sambutan luar biasa daripada komuniti, yang dapat dilihat melalui maklum balas positif serta penglibatan aktif pemain tempatan. Kerjasama dengan selebriti popular Malaysia seperti Chef Wan dan Aliff Erfan berjaya meningkatkan kesedaran tentang kempen ini, sekaligus menarik minat bukan sahaja pemain tegar MLBB, tetapi juga mereka yang baru mengenali dunia permainan video.
Ini adalah sebahagian daripada usaha kami, di mana kami memastikan setiap inisiatif dijalankan dengan individu yang benar-benar memahami budaya yang kami raikan.
5. Adakah MOONTON Games merancang program CSR (Tanggungjawab Sosial Korporat) di Malaysia bagi membantu mereka yang memerlukan?
Ya, MOONTON Games sedang melaksanakan program CSR khusus di Malaysia untuk membantu golongan yang memerlukan. Salah satu inisiatif utama kami ialah program pendidikan yang merangkumi pemberian kelas STEM percuma serta buku mewarna kepada pelajar.
Melalui usaha ini, kami berharap dapat memberi inspirasi kepada generasi muda untuk menceburi bidang sains, teknologi, kejuruteraan, seni, dan matematik. Dengan menekankan kepentingan pendidikan, MOONTON Games berhasrat untuk memberi impak positif kepada komuniti serta menyokong pembangunan generasi masa depan.

setahun yang lepas